25 May
CONTOH KARANGAN YANG MANTAP

RASUAH (FAKTOR, KESAN DAN LANGKAH PENCEGAHAN) 

SOALAN:

Banyak faktor yang mengakibatkan kegiatan rasuah semakin berleluasa di negara ini. Oleh itu, huraikan langkah-langkah pencegahan perlu untuk mengatasi gejala ini. Huraikan.


CONTOH JAWAPAN 1:

Kegiatan rasuah semakin berleluasa di negara kita dan menjadi ancaman kepada imej negara. Terdapat beberapa faktor dan langkah-langkah drastik yang perlu dilakukan untuk mencegah kegiatan rasuah ini.


Antara faktor yang menyebabkan gejala rasuah ini adalah kelemahan peribadi seseorang induvidu. Kelemahan peribadi ini mungkin disebabkan oleh kurangnya didikan agama dan moral seseorang. Sikap ingin hidup mewah dan tamak menyebabkan golongan yang mengambil rasuah ini sanggup mengetepikan ajaran agama. Mereka hanya memikirkan kesenangan sementara tanpa sedar balasan dan hukuman yang bakal diterima kelak.


Selain itu, kelemahan kepimpinan dan pengurusan organisasi juga merupakan faktor utama berlakunya rasuah. Kepimpinan yang tidak cekap dan lemah menyebabkan kurang penyeliaan dan pemantauan ke atas golongan pekerja. Hal ini akan mendorong aktiviti rasuah berlansung secara berleluasa dalam sesebuah organisasi. Oleh itu, golongan pekerja merupakan golongan yang mudah terjebak dalam gejala rasuah.


Di samping itu, terdapat beberapa langkah untuk mengatasi gejala rasuah ini seperti memperkuatkuasakan undang-undang dan hukuman. Hal ini bagi memastikan pengamal rasuah akan berfikir dua kali sebelum melakukan rasuah. Hukuman yang berat perlu dijatuhi kepada pesalah rasuah agar mereka serik untuk melakukan gejala rasuah di kemudian hari. Melalui langkah ini, masyarakat akan sedar betapa bahayanya aktiviti rasuah ini.


Seterusnya, pendedahan awal tentang bahayanya gejala rasuah sejak di bangku sekolah lagi merupakan langkah yang bijak bagi menangani gejala rasuah. Generasi yang dididik agar membenci gejala rasuah ini akan lebih bersikap telus, jujur dan amanah semasa menjalankan tugas mereka. Pendedahan awal tentang gejala rasuah ini boleh diterapkan dalam sukatan pelajaran di sekolah dalam mata pelajaran Pendidikan Islam, Pendidikan Moral, dan Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan.


Langkah lain ialah mempermudahkan urusan menggunakan kemudahan teknologi maklumat (ICT). Proses yang panjang dan sukar semasa melakukan urusan harus dipermudahkan menggunakan kelebihan ICT. Melalui cara ini, seseorang induvidu lebih cenderung berurusan dengan menggunakan perkhidmatan atas talian yang lebih cepat dan cekap sekaligus membendung gejala rasuah yang mudah berlaku seperti sogokan semata-mata untuk mempercepatkan prosedur proses urusan.


Kesimpulannya, semua lapisan masyarakat perlu berganding bahu bagi membanteras gejala rasuah ini agar imej negara bersih dari gejala rasuah. Hal ini juga akan menjadikan ekonomi negara kita bertambah maju tanpa rasuah.


CONTOH JAWAPAN 2:

  Gejala rasuah merujuk kepada perbuatan menyogok seseorang dengan wang atau barangan agar orang yang disogok dapat menggunakan kuasa atau kemampuannya untuk menyelesaikan sesuatu tugas secara tidak amanah. Namun demikian, gejala rasuah di negara kita masih tidak dapat diatasi hingga ke akar umbinya. Berita yang sahih lagi tepat melaporkan bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) merampas RM114.5 juta daripada dua orang pegawai kanan kerajaan di Sabah pada 5 Oktober 2016 dan 19.3kg emas daripada pegawai tersebut dua hari kemudian. Hal ini menunjukkan bahawa gejala rasuah sudah menjadi amalan dalam kalangan segelintir penjawat awam walaupun gejala ini menyalahi undang-undang, bak kata pepatah alah bisa tegal biasa. Sehubungan itu, pelbagai langkah telah dilakukan untuk membendung masalah ini tetapi hanya sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja. Persoalannya apakah cara-cara untuk membendung gejala rasuah di negara kita? Apakah kesan gejala rasuah kepada pembangunan negara? Oleh itu, terdapat pelbagai langkah untuk membendung gejala rasuah di Malaysia.

     Langkah utama untuk membendung gejala rasuah di Malaysia adalah melalui peranan pihak kerajaan. Hal ini dikatakan demikian kerana pihak kerajaan melalui agensi SPRM perlu mengambil tindakan yang lebih agresif tanpa mengira pangkat dan kedudukan dalam melaksanakan tugas kerana anggota SPRM merupakan sebuah badan bebas yang dilantik. Tamsilnya, anggota SPRM perlu turun padang dan bertindak menyamar seperti rakyat biasa untuk menyiasat aduan yang dilaporkan tentang kes rasuah. Dengan berbuat demikian golongan yang terlibat dalam gejala rasuah boleh ditangkap dan dihukum berdasarkan undang-undang. Tindakan yang lebih agresif ini perlu dilakukan secara berterusan dan bukan setakat hangat-hangat tahi ayam sahaja. Oleh itu, siasatan terhadap golongan pekerja tanpa mengira kedudukan atau pangkat oleh SPRM sangat penting untuk membendung gejala rasuah di negara kita.

     Selain itu, langkah seterusnya ialah kerajaan mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap golongan yang terlibat dalam gejala rasuah. Hal ini supaya golongan tersebut diberi pengajaran dan dapat menimbulkan rasa gerun terhadap orang lain yang hendak melakukan rasuah. Misalnya, pihak kerajaan harus mengenakan denda sepuluh kali ganda jumlah wang yang diterima atau diberi dan hukuman penjara selama 10 tahun dan ke atas. Hal ini menyebabkan orang ramai berfikir dahulu sebelum bertindak supaya tidak dikenakan hukuman undang-undang. Golongan yang terlibat dalam gejala rasuah harus mengetahui bahawa sepandai-pandai tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah jua. Natijahnya, berdasarkan pelaksanaan undang-undang seharusnya memberi kesedaran melalui media sosial supaya dapat mendidik masyarakat tentang bahaya amalan rasuah.  

     Sudah terang lagi bersuluh bahawa peranan masyarakat tidak ketinggalan dalam membantu kerajaan membendung gejala rasuah. Guru bertanggungjawab mengajar murid tentang keburukan gejala rasuah manakala ibu bapa berperanan mendidik anak-anak sejak kecil lagi untuk menghindarkan diri daripada gejala rasuah. Sebagai contoh, ibu bapa harus menunjukkan teladan yang baik kepada anak-anak dan memberi didikan agama kepada mereka agar tahu membezakan perkara yang baik dan buruk. Dengan berbuat demikian, sikap benci rasuah boleh disemai dalam diri golongan belia sejak mereka umur setahun jagung, darah setampuk pinang lagi. Tegasnya, masyarakat berperanan mempengaruhi minda generasi muda sejak kecil lagi agar sedar bahawa gejala rasuah merupakan sesuatu yang negatif.

     Intihannya, terdapat pelbagai langkah untuk membendung gejala rasuah di negara kita. Gejala ini bukan sahaja akan menjejaskan ekonomi negara tetapi juga imej negara. Semua pihak harus bersatu padu bagai aur dengan tebing untuk mewujudkan sesuatu negara yang bebas daripada gejala rasuah. Dengan berbuat demikian, negara Malaysia boleh terus maju dan sejahtera.  


Punca-punca berlakunya gejala rasuah dan cara membanterasnya



Rasuah secara literalnya bermaksud sogokan atau secara konseptualnya bermaksud wang yang diberikan kepada pihak lain untuk menyembunyikan sesuatu perkara atau untuk mendapat sesuatu dengan mudah dan cepat tetapi salah di sisi undang-undang negara. Rasuah merupakan gejala yang sinonium dengan masyarakat kita pada hari ini dan menjadi buah mulut media massa. Media massa selalu menyiarkan pelbagai kes rasuah yang melibatkan pegawai berprofil tinggi sebagai bukti isu ini semakin berleluasa bak cendawan tumbuh selepas hujan. Menurut Transparency International, Indeks Persepsi Rasuah (CPI), Malaysia berada pada tangga ke 50 daripada 175 buah negara pada tahun 2014. Senario ini amat menggemparkan kerana gejala rasuah akan mencemarkan nama baik negara kita. Persoalannya, apakah punca yang menyebabkan gejala rasuah berlaku dan bagaimana kita patut menangani isu ini? Saya akan rangkaikan satu demi satu.


Antara punca berlakunya gejala rasuah termasuklah kurangnya didikan agama dan moral. Semua agama di dunia menyeru perkara yang sama, iaitu mementingkan kebaikan dan melarang kemudaratan. Didikan agama dan moral merupakan pedoman dan panduan kita semasa menempuh belantara kehidupan. Namun demikian, seseorang yang tidak mempunyai iman yang kuat mudah terpengaruh dengan dunia hedonistik yang mementingkan aspek kebendaan semata-mata. Mereka akan leka mengejar kekayaan dan mudah terjerumus ke dalam lembah kejahatan dengan mengambil rasuah untuk memenuhi fatamorgana diri sendiri. Individu sebegini sudah kehilangan prinsip asas dan ibarat kapal tanpa nakhoda. Jelaslah bahawa anutan agama dan moral yang kurang mantap akan menyebabkan seseorang melibatkan diri dalam gejala rasuah.


Punca lain yang ketara ialah masalah ketelusan sistem pentadbiran kerajaan kita. Masyarakat menganggap masalah rasuah ini bermaharajalela kerana kerajaan tidak memiliki satu sistem yang telus terutamanya aspek pemberian tender, kontrak dan projek lain yang menyebabkan ramai pekerja awam mengambil kesempatan daripada kelemahan ini untuk mengaut keuntungan dengan memberikan rasuah. Lagipun, ketiadaan sistem permantauan berkesan yang bak melepaskan batuk di tangga menyebabkan ramai pekerja awam yang terangsang untuk melakukan jenayah ini. Maka, wabak sosial ini telah menular dalam masyarakat kita sehingga dianggap sebagai asam garam kehidupan dan merupakan kebiasaan di negara kita. Persepsi demikian menyebabkan jumlah kes rasuah melambung tinggi dan menjadi duri dalam daging dalam kalangan masyarakat kita.


Seperkara lagi, penguatkuasaan undang-undang yang lemah dalam sistem perundangan negara kita turut menyumbang kepada penularan gejala rasuah dalam negara kita. Tindakan mahkamah yang menjatuhkan hukuman ringan kepada pesalah-pesalah rasuah berbanding dengan jumlah rasuah yang diambil oleh mereka telah menimbulkan pandangan negatif terhadap keupayaan sistem kehakiman negara kita untuk menangani isu ini. Hukuman ringan ini dikatakan menjadi motivasi kepada pihak tertentu untuk mengambil risiko melakukan rasuah kerana sedar bahawa mereka masih mampu menikmati hasil rasuah yang diambil setelah keluar dari penjara. Terdapat juga anggapan rakyat bahawa masih ada pihak tertentu yang mengambil rasuah tetapi tidak dibawa ke muka pengadilan. Hal ini telah mengikis kepercayaan dan keyakinan rakyat terhadap keikhlasan kerajaan untuk menangani isu ini. Sesungguhnya, kekurangan ketegasan sistem kehakiman kita dalam menjatuhkan hukuman yang setimpal dengan kesalahan rasuah merupakan antara penyumbang utama kepada kejadian jenayah rasuah di negara kita.


 Untuk menangani isu rasuah dari akar umbi, ibu bapa dan barisan pendidik memainkan peranan yang signifikan dalam menyemai nilai murni pada sanubari anak. Sejak usia muda, anak-anak perlu dididik tentang keburukan mengambil rasuah kerana bak kata pepatah, melentur buluh biarlah daripada rebungnya. Ibu bapa perlulah menjadi entiti mithali dan teladan baik dengan bersikap jujur dan menjauhi amalan rasuah. Hal ini disebabkan ibu bapa yang melakukan jenayah rasuah dan cuba menasihati anak-anak mereka untuk menjauhi gejala tersebut ibarat ketam yang mengajar anaknya berjalan dan nasihat mereka akan bagai mencurah air ke daun keladi. Di sekolah, pengajaran pendidikan agama dan moral perlu diberikan tekanan. Barisan pendidik boleh berkongsi maklumat terkini tentang gejala rasuah dengan anak murid sebagai iktibar supaya tidak melakukan jenayah rasuah dalam kehidupan mereka. Sesungguhnya, kerjasama daripada ibu bapa dan barisan pendidik mampu melahirkan anak bangsa yang berpegang kuat pada prinsip mereka dan menjauhi amalan rasuah.


Pihak kerajaan boleh membuktikan kesungguhan mereka dalam menangani kemelut sosial ini dengan menguatkuasakan undang-undang negara kita. Sistem kehakiman negara kita perlulah diperketat dan pesalah-pesalah rasuah mestilah ditahan, didakwa dan dihukum tanpa mengira kedudukan mereka. Hukuman tegas perlu dijatuhkan pada pesalah rasuah sebagai amaran kepada orang lain agar tidak melakukan jenayah tersebut kerana bak kata pepatah, harimau ditakuti disebabkan giginya. Kesungguhan kerajaan dalam membawa pesalah rasuah ke muka pengadilan juga memberikan satu peringatan yang kekal terpahat pada sanubari mereka selagi hayat dikandung badan. Jelaslah bahawa tindakan tegas terhadap semua pengamal rasuah tanpa memilih bulu akan mendorong masyarakat kita supaya menjauhi jenayah tersebut.


Di samping itu, media massa turut memainkan peranan vital dalam menimbulkan kesedaran dalam lapisan masyarakat tentang keburukan dan implikasi mengambil rasuah. Pihak kerajaan seharusnya melancarkan kempen iklan yang efektif dengan menggunakan media massa secara holistik, iaitu akhbar hingga ke internet untuk memastikan setiap lapisan masyarakat didedahkan kepada kempen tersebut. Kempen ini bertujuan untuk memberikan amaran dan peringatan kepada setiap individu tentang hukuman yang akan dihadapi jika mengambil rasuah.Justeru, masyarakat akan berfikir dua kali sebelum menerima rasuah dan senario ini akan mengurangkan kes rasuah dengan signfikan. Sudah terang lagi bersuluh, dalam menempuh arus globalisasi ini media massa merupakan senjata yang efektif dalam  membanteras jenayah rasuah di negara kita.


 Konklusinya, rasuah merupakan wabak sosial yang mestilah dibanteras hingga ke akar umbi. Semua pihak tidak kira pangkat atau harta seharusnya menggembleng tenaga dan berganding usaha untuk mengatasi gejala rasuah di negara kita. Jika setiap individu memainkan peranan dengan mengelakkan diri daripada mengambil rasuah, pastilah masalah ini dapat ditangani kerana bak kata pepatah, di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Maka, tindakan saksama yang dikenakan terhadap pesalah rasuah tanpa mengira kedudukan juga dapat meningkatkan kepercayaan dan keyakinan rakyat. Lantas, negara kita dapat terus maju dan muncul sebagai negara kelas pertama di pentas dunia. 


Comments
* The email will not be published on the website.
I BUILT MY SITE FOR FREE USING