19 May
TEKNIK MENJAWAB UNTUK KARANGAN


Penulisan karangan

· Bagi karangan Bahagian B, anda perlu menulis karangan anda melebihi 350 patah perkataan

· Bagi memastikan karangan anda pada tahap cemerlang, pastikan karangan anda mempunyai tujuh perenggan atau melebihi tiga muka surat.

Saya mencadangkan anda menulis perenggan pendahuluan dalam anggaran 70 patah perkataan, isi dalam anggaran 80 patah perkataan (80 X 5 isi = 400) dan penutup dalam anggaran 70 patah perkataan.

· Jadi, jumlah keseluruhan karangan anda ialah 500 patah perkataan dan memenuhi kehendak arahan soalan.



Formula penulisan karangan

PENDAHULUAN ( anggaran 70 patah perkataan )



Pendahuluan = PU/DEFINISI + AH + AC + AA


Penyataan Umum (PU) / Definisi

· Terdiri daripada satu ayat sahaja.

· Ditulis berdasarkan tajuk.


Ayat Huraian (AH)

· Terdiri daripada satu hingga tiga ayat.

· AH1 : Senario / perkembangan isu yang dibincangkan pada masa ini.

· AH2 : Faktor / Kepentingan / Kesan kepada individu / keluarga / masyarakat / negara (bergantung kepada dimensi soalan).

· AH3 : Kesinambungan daripada ayat huraian 2 dan boleh menggunakan formula 5W 1H 1I / MASSBBD (Mengapaa, Apa, Siapa, Sekiranya, Bagaimana, Bila, Di mana)


Ayat Contoh (AC)

· Anda boleh memberikan satu atau melebihi satu contoh.

· Pastikan contoh yang diberi sesuai dan relevan dengan keadaan dan bertepatan dengan kehendak soalan.


Ayat Arah (AA)

· Menyatakan pendirian anda sama ada bersetuju atau tidak dengan soalan secara umum.

· Perlu menyatakan fokus arahan yang diberikan.

· Anda boleh menulis dalam bentuk ayat penyata atau ayat tanya bergantung kepada kreativiti anda.


Peringatan :

· Baca arahan dengan teliti dan gariskan kata kunci dan fokus arahan.

· Jangan sesekali memasukkan isi dalam perenggan pendahuluan.

· Tidak perlu menyatakan isi utama dalam ayat arah.


ISI ( anggaran 80 patah perkataan X 5 ISI = 400 patah perkataan )



Isi = AT + AH + AC + AP


Ayat Topik (AT)

· Terdiri daripada satu ayat sahaja dan mestilah ringkas, padat dan jelas.

· Ditulis pada permulaan ayat.

· Menjadi pencetus idea untuk pengembangan ayat seterusnya.


Ayat Huraian (AH)

· Terdiri daripada satu hingga lima ayat.

· Dihuraikan secara mendalam menggunakan formula 5W 1H 1I / MASSBBD (Mengapaa, Apa, Siapa, Sekiranya, Bagaimana, Bila, Di mana)

· Setiap ayat huraian mestilah menunjukkan kesinambungan dengan cara menggunakan penanda wacana yang sesuai.


Ayat Contoh (AC)

· Anda boleh memberikan sekurang-kurangnya satu contoh.

· Pastikan contoh yang diberi sesuai dan relevan dengan keadaan dan bertepatan dengan kehendak soalan.

· Kedudukan AC boleh di mana-mana sahaja tetapi mestilah sebelum AP.


Ayat Penegas (AP)

· Merupakan ayat kesimpulan kecil bagi setiap isi.

· AP menegaskan semula AT dengan menggunakan ayat berbeza tetapi masih mengekalkan maksud yang sama dengan AT.


Peringatan :

· Setiap isi mestilah ditulis dalam satu perenggan sahaja.

· Tidak boleh menggabungkan 2 isi dalam satu perenggan.

· Tidak boleh menulis 1 isi dalam beberapa perenggan (dikira sebagai mengulang isi).


PENUTUP ( anggaran 70 patah perkataan )



Penutup = AK + AC + AH


Ayat Kesimpulan (AK)

· Terdiri daripada satu hingga dua ayat .

· Merumuskan keseluruhan karangan.

· Tidak menyenaraikan isi yang telah ditulis dalam perenggan isi (dikira salah).

·


Ayat Cadangan (AC)

· Terdiri daripada satu hingga dua ayat.

· Memberi cadangan yang relevan dan mengaitkan dimensi dengan fokus arahan yang diberikan.

· Tidak memerlukan huraian panjang.


Ayat Harapan (AH)

· Menyatakan harapan sekiranya cadangan yang diberikan dalam AC diguna pakai dalam usaha menangani isu yang dibincangkan.

· Menggunakan kata hubung agar / supaya / demi untuk menyambungkan AC dengan AC.

· Kaitkan dengan dasar-dasar negara atau Wawasan 2020.


Peringatan :

· Jangan memasukkan isi dalam kesimpulan.

· Perenggan kesimpulan haruslah seimbang dengan perenggan pendahuluan.

· Mesti memasukkan ayat cadangan dan harapan.


Kelebihan menggunakan formula dalam aktiviti mengarang

1. Karangan menjadi panjang dan memenuhi arahan soalan.

2. Murid tidak membuang masa memikirkan perkara yang hendak ditulis.

3. Hala tuju karangan jelas dan tidak terkeluar tajuk.

4. Perenggan yang seimbang dan sekata.

5. Komponen karangan lengkap – ada pendahuluan, perenggan isi yang jelas, dan kesimpulan.


Contoh penulisan menggunakan formula


FOKUS ARAHAN : LANGKAH-LANGKAH MEMARTABATKAN BAHASA MALAYSIA 


PENDAHULUAN = PU + AH + AC + AA

'Bahasa jiwa bangsa', itulah frasa yang paling sesuai untuk melambangkan signifikan sesuatu bahasa kepada bangsa-bangsa di Malaysia (PU). Pelbagai polemik telah dibangkitkan sejak akhir-akhir ini bagi membicarakan identiti bahasa Malaysia sebagai bahasa kebangsaan bagi sebuah rumpun bernama Malaysia (AH). Bahasa Malaysia telah diadaptasikan daripada frasa asal 'Bahasa Melayu' yang disifatkan berjiwa perkauman sekaligus tidak relevan dengan gagasan 1Malaysia (AC). Namun begitu, apakah inisiatif yang perlu diimplementasikan demi memartabatkan bahasa Malaysia dalam kalangan masyarakat? (AA)


(67 patah perkataan)


ISI = AT + AH + AC + AP

Langkah pragmatik yang patut diambil termasuklah menggesa semua urusan rasmi di semua jabatan kerajaan diimplimentasikan dalam bahasa ibunda (AT). Mutakhir ini, jabatan-jabatan kerajaan lebih cenderung memilih bahasa Inggeris yang dianggap berdarjat tinggi berbanding bahasa Malaysia untuk digunakan dalam urusan syarikat mereka (AH) tamsilnya dalam mesyuarat yang diadakan (AC). Sifat nafsi yang menggunung dalam jiwa mereka wajar diibaratkan seperti kacang lupakan kulit kerana mereka persis mengenepikan sebuah bahasa yang telah mendewasakan pemikiran mereka. Oleh itu, pihak-pihak ini haruslah menjaga seterusnya memartabatkan bahasa Malaysia supaya tidak hilang ditelan zaman.


(82 patah perkataan)


PENUTUP = AK + AC + AH

Konklusinya, semua pihak haruslah menggembleng tenaga untuk meledakkan darjat bahasa Malaysia sebagai bahasa rasmi dalam semua urusan harian, selain status utamanya sebagai bahasa kebangsaan (AK). Janganlah kita menjadi manusia yang khusyuk menyelami sungai pemodenan dengan mementingkan bahasa asing sebaliknya menidakkan kebolehan bahasa Malaysia untuk membawa kita ke mata dunia. Pepatah Melayu ada menyebut, “yang kurik itu kendi, yang merah itu saga, yang baik itu budi, yang indah itu bahasa” (AC). Oleh hal yang demikian, marilah kita berpijak di bumi yang nyata dengan menjaga bahasa kebangsaan supaya kekal nirmala dan 'tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas' (AH).


(73 patah perkataan)


Pembahagian masa

· Masa yang dicadangkan untuk menjawab soalan ini ialah 90 minit.

· Peruntukkan masa yang saya cadangkan adalah seperti berikut:


Strategi 

Masa yang dicadangkan

Membaca dan memahami arahan soalan

5 minit

Menyediakan rangka karangan

10 minit

Mengarang

55 minit

Menyemak

10 minit

Menyemak dan menyusun jawapan

10 minit

Jumlah masa

90 minit



PENILAIAN


Ciri-ciri Karangan Cemerlang

Sesebuah karangan yang cemerlang harus memenuhi kriteria-kriteria yang berikut :

· Sekurangnya-kurangnya menuis dua ungkapan menarik seperti peribahasa, hadis, cogan kata, kata-kata orang ternama, pantun dan seumpamanya.

· Sekurang-kurangnya terdapat dua variasi ayat seperti ayat tanya, ayat majuk, ayat aktif, ayat pasif dan seumpamanya.

· Sekurang-kurangnya terdapat dua kosa kata berdarjat tinggi seperti macapada ini, anjakan paradigma, menggembleng sinergi dan sebagainya.

· Karangan mesti ditulis berselang sebaris antara perenggan.

· Lima perenggan isi mesti terdiri daripada isi pokok, huraian, contoh dan penegas.

· Setiap ayat yang ditulis mesti mempunyai subjek dan predikat yang lengkap.

Tulisan kemas, bersih dan selesa dipandang.


Comments
* The email will not be published on the website.
I BUILT MY SITE FOR FREE USING